Saturday, April 30, 2011

Bertamadun - Kah

Hari ni saya nak bercerita tentang kejiranan tapi bukan jiran2 yang ada dikawasan rumah saya tapi jiran2 sikakak. Bermula bulan Febuari yang lalu dia minta izin untuk tinggal dengan kawan dirumah sewa, rumah teres yang tak jauh dari kampus. Mulanya saya tak izinkan sebab kediaman tempat belajar tak sama macam kediaman orang ramai. Dia berjanji  hanya untuk 3 bulan, buka semester bulan June nanti dia akan tinggal semula di appartment yang disediakan kampus tempat dia belajar.

Masa mula2 saya hantar kerumah sewanya hati tak berapa pekenan walaupun rumah tu dilengkapi dengan perabut sebab kebanyakan perabut tu dah tak berapa nak elok. Mereka tinggal  4 orang, bilik air cuma satu sekali dengan tandas. Menurutnya mereka pergi kelas bukan dalam satu waktu, dek kerana dia dah bagi alasan yang boleh diterima pakai saya hanya mendiamkan diri. Sebelum balik saya sempat berpesan kalau bertemu dengan jiran2 ramah2kan mulut, tegur dan hormat.

Kali ke 2 saya datang dia mengadu katanya puaslah dia dan kawan2nya senyum bila terserempak dengan jiran dan anak2 sebelah rumah tapi hanya dapat jelingan sebagai balasan. Kata kakak anak2 yang dah kahwin pun tinggal serumah, parking kereta ikut suka hati. Ada satu hari tu kulit durian diletakan ditepi gate tapi mereka tak ambil kisah. Hari berikutnya sikakak sandarkan plastik sampah pada tong sampah jiran yang diletakan didepan rumah sewa mereka. Tak lama anak jiran mengalihkan tong sampah tu maka berseleraklah sampah yang disandarkan. Yang peliknya tong sampah tu masih di kawasan rumah sewa mereka, mungkin tak ada kawasan sebab dah renovate rumah sampai ke depan gate.

Hari berganti hari jirannya masih tak menunjukan sifat kejiranan. Hari rabu lepas khemah di dirikan sepanjang jalan ini bererti akan ada kenduri. Memang benar kenduri kahwin akan berlangsung minggu ni. Disebabkan cuti bersambung hari buruh hanya dia seorang yang tinggal dirumah sewa sedangkan yang lain balik ke Kl dan seorang lagi berholiday. Rumah nampak kosong sebab siangnya sikakak ke library, exam pun tak lama lagi.

Bila balik malam dia amat terkejut bila nampak poarch rumahnya dah diletakkan sofa dan kerusi makan. Dia terus buka pintu nak masuk rumah tapi salah seorang daripada orang kat situ mengatakan nak letak tempat dejay didalam poarch tu dan dengan suara yang agak keras memaksa kakak pasangkan lampu luar dan mengatakan nanti mereka boleh bayar duit letrik. Kakak yang tak biasa dengan bahasa yang kurang sopan menjawab dengan lembut tidak membenarkan tempat dejay diletakan disitu. Dan katanya lagi dia tak kisah nak guna lampu sebab sebelum ni pun mereka memang memasang lampu luar setiap malam. Rumah anak dara kenalah terang benderang. Kakak tak mahu panjangkan perbualan terus masuk rumah dan pasang lampu.

Lewat malam kawannya yang berholiday pun balik, terkejut dan mana nak letak kereta, rumah sudah diblok dan nak lalu pun susah. Tanpa fikir panjang dia pun parking keretanya di belakang khemah. Bila dah masuk rumah kakak pun bercerita apa yang berlaku pada kawannya. Semalaman mereka tak dapat tidur sebab betul2 depan pintu rumah mereka orang bergotong royong masak sampai ke subuh. Paginya mereka buka pintu alangkah terkejutnya gate mereka telah ditanggalkan dari tiangnya, hahaha....terkejut beruk... maka meloponglah rumah mereka tanpa gate. Memang kerja berani mati hehehe...tak tahu ke dalam rumah tu ada pelajar undang2 bila2 saja boleh saman.

Bila dah jadi begitu kakak dan kawannya pun pergilah kerumah jiran untuk bertanya kejadian yang berlaku, boleh pula menantu dan keluarga yang lain tuduh macam2 dan suruh pula alihkan kereta sebab nak tambah khemah. Dasar tak sedar diri, makanya pertengkaran pun berlaku tapi nasib baik kakak dan kawannya tak melatah sebab saya dah berpesan biar orang buat kita Allah ada untuk buat pengadilan lagi pun sifat kakak yang tak berapa pandai menjawab kalau orang tembak dengan peluru.

Pagi tadi datanglah salah seorang anak jiran menjemput mereka untuk datang ke majlis tu, majlisnya hari ini. Kenapa tak mak atau ayah pengantin saja yang menjemput? kalau betul ikhlas kenapa tak jemput sebelum pasang khemah? Mungkin malu sebab dah sedar mereka tak bertamadun dan pula masa bertengkar adalah perkataan kawan kakak menyebut tak sangka orang Melaka begini caranya, kami orang luar tak faham. Harap kalau ada orang Melaka yang baca jangan marah atau terasa hati sebab bukan semua yang macam tu, saya sendiri punya mak saudara dan kakak ipar orang Melaka yang bersopan dan baik2 belaka.

Kalau korang macamana nak pergi tak? Kakak dan kawannya awal2 lagi dah ke library untuk meneruskan perjuangan. Katanya tak tahulah bila dia balik nanti macamana rupa kawasan rumahnya dan adakah mereka pasang semula gate yang ditanggalkan. Huhuhu ....tunggu dan lihat.....

Thursday, April 28, 2011

Dah WaktuNya

Anak bujang saya bagi duit suruh hubby beli durian. Hubby beli 4 biji  kata si penjual durian dari  Batu Kurau,Perak. Masa hubby tengah kupas saya cepat2 masuk bilik sebab saya tak nak joint makan. Dah siap hubby suruh siadik naik atas ajak saya tapi saya pura2 tidur.

 gambar google

Pagi esoknya masa anak bujang nak pergi kerja dia suruh saya makan durian yang disimpan dalam fridge. Saya jawab urm saja bila dah tengahari baru saya tengok, bila buka tuperware cakap dalam hati kenapa banyak yang tinggal. Mula2 saya makan 2 ulas saja terasa sedap tambah 2 ulas lagi.Tak berani makan banyak nanti kalau pening siapa yang susah. Petang sampai ke malam tak seorang pun yang berminat. Sampailah petang esoknya masih tak di usik, saya pun keluarkan separuh dan separuh lagi saya masukkan dalam freezer. Saya goreng macam Hana memories buat (terima kasih dan minta halal ) goreng macam cempedak. Sampai malam saya dan hubby saja yang makan itu pun hubby cuma makan 2 ulas manakala siadik makan tapi diluahkan semula, tak sedap katanya.


Saya biarkan aje diatas meja kalau nak bagi jiran dah malam tak elok pula, sampai esok masih tak dimakan akhirnya jadi habuan tong sampah. Selalunya penghuni rumah ni suka sangat makan durian tapi mungkinkah takut disebabkan kejadian yang berlaku.

3 minggu lepas jiran depan rumah saya meninggal akibat makan durian. Petangnya arwah balik dari kerja anak2 berkumpul beli durian, makan ramai2 malamnya arwah sesak nafas terus bawa ke hospital, esok paginya disahkan meninggal. Sebenarnya dah sampai ajal kalau tak makan durian pun kalau dah cukup waktu takkan terlewat atau tercepat walaupun seminit. Tapi kita kenalah berhati2 juga sebab musim panas agak merbaya bagi orang yang berpenyakit.



.

Tuesday, April 26, 2011

Tergamam


Pernah tak sesiapa dapat perkataan tu?

Ceritanya begini...saya mula blogwalking pukul 12 tengahari sampai lah dekat waktu zohor. Tak lama azan pun berkumandang, dalam hati kejap lagilah. Sampai keblog kakzakie bila nak post comment keluar perkataan SOLAT. Tergamam saya dibuatnya terus istighfar dan tutup lappy. Cuba perhatikan waktu yang tertera...pukul 1.36 tengahari.

Peringatan atau secara kebetulan...Hanya Dia yang mengetahui.

Monday, April 25, 2011

Jenjalan Bersama

Dah lama adik bongsu mengajak saya berubat kat Perak, katanya ramai kawan yang dibawanya alhamdulillah semuanya dah ok.Semalam saya bersetuju dengan cadangannya. Selain saya, kakak sulung dan ayah yang kebetulan ada di rumah adik turut serta. Jarang sekali kami menaiki kereta bersama sebab masing2 punya keluarga dan kenderaan sendiri. Lebih kurang pukul 7.30 pagi kami bertolak ke Perak tapi sebelum tu hantar anak kedua adik ke Stadium Subang Jaya untuk latihan badminton. Isterinya pula ada  latihan kuda bersama anak bongsu mereka di Equestrian

Dalam kereta adik mencadangkan  kami ikut jalan lama sebab kami  nak bersembang2 dan melihat suasana jalanraya yang dah lama tak di lalui. Dari Rawang kami lalu beberapa pekan seperti Serendah, Rasa, Kuala Kubu Baru, Kerling, keliang, kelumpang, Tanjung Malim, Slim river dan Trolak. Mungkin ada pekan2 yang saya tertinggal. Dulu masa sebelum kahwin jalan ini lah yang dilalui apabila naik bas untuk pulang kekampung dan sebaliknya. Tak banyak perbezaan cuma adalah  kedai2 baru yang dibina selain kedai2 lama yang masih ujud.

Kami singgah di Kuala Kubu Baru untuk bersarapan, makan nasi lemak berbungkus daun pisang. Kat kedai tu ada jual madu yang dihantar oleh orang kampung sendiri dan adik  membeli satu botol. Selepas tu kami teruskan perjalanan sampailah ke tempat yang di tuju iaitu Felda Besout. Inilah pertama kali saya jejak tempat ni walaupun kampung halaman saya tak jauh dari situ. Sampai kat rumah tu dah ada orang sedang berurut, kami terpaksa menunggu buat seketika. Saya difahamkan tukang urut patah ni memang terkenal dan dia juga adalah tempat rujukan ortorpedik hospital Ipoh dan Kl. Kalau ada sesiapa yang patah memang digalakan kesini dan sememangnya keberkesananya terbukti.

Setelah berhempas pulas menahan kesakitan (yalah tu ) kami rehat sekejap dan tak lama datang lagi pesakit kalau tak silap datang dari Kampar. Kami minta izin untuk pulang setelah urusan selesai. Adik membawa kami jalan2 ke pekan Sungkai lepas tu berpatah balik untuk pulang. Kami singgah sebentar di Slim River rumah kakak yang dah ditinggalkan (sekarang tinggal dengan anaknya), sempat saya ambik daun pandan. Kami meneruskan perjalanan tapi masih lagi ikut jalan lama. Kemudian kami singgah di Behrang Station untuk makan tengahari. Disini terdapat kedai yang menjual cendul yang sedap, saya order cendul pulut. Masa makan nak tergelak pun ada, lucu sangat sebab ayah minum cendul dengan kacang yang banyak sedangkan dia baru aje sihat dari sakit gaout. Boleh dia kata tak perasan sedangkan kacang2nya punyalah besar2.

Siap makan kami sempat memborong petai (kebanyakan keluarga hantu petai) yang di jual di tepi jalan. Lepas tu kami masuk pula ke pekan Tanjung Malim nak membeli kuih pau tapi hampa. Kami meneruskan perjalanan dengan laluan highway sampailah ke Shah Alam. Pukul 3.30 petang kami tiba dirumah adik. Malamnya kami makan beramai2 berlaukan ikan goreng, ikan goreng berlada, sayur, pegedil dan sambal ikan bilis petai. Meriah sungguh sebab kami makan dibawah beramai2, jarang sekali kami lakukan sebab selalunya kami makan berganti2 mengikut kekosongan kerusi. Habis makan kami sembang2 sekejap selepas tu kakak dan anaknya balik ke Setiawangsa. Saya pula terpaksa menunggu hubby sebab siadik ada tusyen pada malam tu. Pukul 11 malam baru mereka datang dan kami terus balik kerumah.

gambar google

Saturday, April 23, 2011

Borong & Pertemuan

Pagi tadi selepas sarapan saya, hubby dan siadik menuju ke PWTC untuk memancing tapi bukan memancing ikan ya. Semua orang tahu disana ada pesta buku kan. Dalam kereta saya dah cakap kalau nak beli buku pilihlah yang betul2 perlu. Tapi sebelum tu kami singgah di kompleks dulu sebab nak membeli hadiah untuk seseorang. Bila dah dapat kami pun teruskan perjalanan. Sampai saja disana orang dah ramai begitu juga bas berderet2 panjangnya, nasib baik dapat parking tak jauh dari bangunan.

Mula sampai terus menuju ke booth PTS sebab dah berjanji nak jumpa seseorang, nasib menyebelahi kami sebab tak lama mencari dah jumpa. Nak tahu siapa...siapa lagi kalau bukan penulis buku kegemaran siadik...ABDUL LATIP TALIB. Dapat berborak dan sesi bergambar dan siadik menyerahkan hadiah buat Pak latip. 3 buah buku karya  Pak Latip dibelinya dan satu buku bertajuk IMAM2 YANG BENAR hadiah dari Pak Latip pula. Saya pun beli 7 buku edisi jimat karya Pak Latip yang ada gambar pedang kalau disusun. Buku2 ni dah ada dalam simpanan tapi saya pekenan sebab ada gambar pedang.



hadiah untuk Pak Latip


hadiah dari Pak Latip




Saya dah lama nak beli buku YAKJUJ & MAKJUJ tapi selalu kehabisan, bila nampak ada kat sini tak lepaskan peluang, dapat diskaun 15% lagi., Rasa macam seronok aje bila dah dapat yang dicari, nak balik cepat tapi siadik nak mencari buku2 rujukan untuk PMR pula. Kami ke booth PELANGI dan SASBADI. Lepas tu hubby pula  mencari Quran kecil. Bila semuanya selesai saya duduk diruang legar sementara menunggu hubby solat.


 Tengah duduk terfikir nak mencari seseorang, cakap dengan siadik kalau ada rezeki jumpa kalau tak  tak apalah. Pergi kat Creative Enterprise bertanya ada tak orang yang bernama ...jawab salah seorang petugas dia pergi solat. Saya pun tunggu hampir setengah jam baru muncul. Saya beranikan diri bertanya dan perkenalkan diri, sesi peluk2 pun berlaku.Nak tahu juga siapa yang saya jumpa... AZIEAZAH, Peramah orangnya walaupun hanya sebentar tapi mesra sekali. Lepas salam2 saya pun balik.
Mulanya gambar ni tak nak masuk dalam blog tapi fikir balik apa salahnya nanti boleh di jadikan kenangan, Azie jangan marah ya.

                           
Hari ini seronok sangat dahlah dapat pancing banyak buku dapat pula jumpa kawan alam maya. Best sesangat...

Wednesday, April 20, 2011

Hidup Tanpa Belaian

Semalam melawat laman tengok pokok2 yang ditaman, memang tak berurus banyak pokok2 yang tak dicantas. Pergi satu sudut lain pula, ada pokok yang macam nak mati, ada yang masih hidup tapi tak berapa nak subur. Mana taknya sejak tuannya tak boleh buat kerja berkebun hanya air aje yang pokok2 tu dapat, kalau hujan pagi tak bersiramlah walaupun panas diwaktu petang.

Kadang2 bila ada air beras saya siramkan juga sebab dah lama sangat tak bagi baja. Pernah cakap dengan hubby dan anak2 minta diorang bajakan, semua kata ok tapi tak buat juga. Kalau siadik jawapannya mama boleh suruh buat kerja apa saja tapi bukan berkebun. Nampaknya kedua2 anak perempuan saya memang tak minat langsung pada pokok. Kalau anak lelaki sibuk memanjang hari tak bekerja pun macam sibuk aje. Kalau ikutkan hati nak buat aje kerja2 tu tapi kalau dibuatnya sakit nanti siapa yang susah. Baiklah pendamkan aje perasaan tu dulu sampai dah pulih betul barulah beroperasi.


walaupun tak dibaja dia tetap berbunga

batangnya kering 

anggerik ni kalau berbunga baunya wangi

ekor kucing tetap subur


limau kasturi ni dah banyak kali mengeluarkan buah 

Sunday, April 17, 2011

Berkelah & Bye2

Rasa lama sangat tak pergi berkelah, bawa makanan dari rumah, makan ramai2 macam masa anak2 kecik dulu. Sekarang bila anak2 dah besar jarang sekali benda ni berlaku kalau ada pun bawa makanan yang dibeli atau pun makan saja ditempat yang dituju.

Kelmarin saya bagi tau dengan anak2 saya nak pergi berkelah bawa bekal dari rumah tapi malangnya hujan dari pagi tak berhenti2 jadinya terbatallah cadangan. Hari ahad pula tak boleh  pergi sebab kakak dah nak balik ke kampus.Tak menghampakan hati saya anak2 mengajak saya berkelah aje dilaman rumah. Pagi tadi hubby beli roti canai dan roti boy pula saya beli semalam semasa pergi ke Alammanda. Rasa terhibur jugalah sebab ada suasana berkelah sambil makan2 berborak. Gambar dibawah ni makanan kami masa berkelah. Tengaharinya  kakak masak rendang ayam untuk di bawa balik sebahagian daripadanya.

sarapan pagi masa berkelah

Petang ni baru aje balik dari menghantar kakak ke perhentian bas Bandar Tasik Selatan yang baru aje beroperasi. Bangunanya cukup luas dan cantik dan banyak terdapat kedai2 makan. Kalau pergi kesana macam nak naik kapal terbang siap ada lobi, balai arrival dan balai departure. Kalau nak hantar pun hanya dipintu departure aje lepas tu bye2 dah tak nampak. Perjalanan bas2 ada terdapat pada screen yang besar dan trolley yang ada disana pun macam ala2 trolley KLIA. Modern dan canggih betul, itulah bandaraya kita. Kalau sesiapa naik bas yang nak pergi kearah selatan bolehlah kesana untuk merasai macam nak naik kapal terbang.

Friday, April 15, 2011

Aktiviti Kuarantin

Salam semua, pagi tadi pergi jumpa doktor alhamdulillah dah buka bandage dan jahitnya. Lukanya pun dah beransur pulih. Terima kasih pada rakan2 yang medoakan saya cepat sembuh semoga kita semua dalam peliharaan yang maha Esa.

Nak cerita sikit semasa saya dalam kurantin. Masa balik dari hospital sakitnya masih tak terasa sebab bius masih berbaki tapi bila malamnya baru terasa sakit. Mulanya tahankan aje sebab tak nak makan ubat tapi lama kelamaan tak boleh akhirnya makan juga. Besoknya bila bangun terasa macam ok tapi tak lama dia berdenyut lagi, makan ubat lagi tapi bila makan ubat kesannya pening kepala dan rasa macam nak muntah, akhirnya paksa diri tidur sepanjang hari.

Sepanjang tangan saya berbandage semua kerja2 rumah hubby dan siadik yang lakukan termasuklah memandikan dan memakaikan baju saya. Yang membuat saya tergelak bila siadik memandikan( lebih selesa anak lakukan dari hubby) akan bercerita dan bertanya macam2. Katanya masa dia kecik mama mandikan macamana sabun macamana sampoo rambut macamana dan macam2 lagi sampailah pakaikan baju dan sikat rambut. Saya pun bagitaulah  setiap apa yang dilakukan oleh ibu pastinya lahir dari hati yang ikhlas tanpa ada paksaan dan tunggu untuk disuruh. Konon2nya macam ibu mithali lah tapi dia tak tahu kadang2 terpaksa juga dan kadang2 merungut juga hehehe...

Selain dari kerja2 yang diatas siadik tolong kemas rumah tapi dia pun agak sibuk dengan kerja2 sekolah bila malam ada tusyen pula, manakala hubby pula merangkap semua kerja rumah kecuali memasak. Kalau nak tahu kami hari2 makan nasi dari kedai samada dibeli atau pun keluar makan. Rasa jemu juga sebab tak dapat rasa makanan yang dimasak sendiri, habislah semua kedai yang ada berhampiran kami jelajah. Nasib berpihak selepas 5 hari sikakak cuti seminggu dapatlah dia membuat kerja2 yang lebih sempurna termasuk memasak. Untung katanya sebab dia tahu lebih banyak cara memasak sebab saya jadi supervisor sedangkan selama ini bila dia balik mama dia yang sediakan, sebut saja apa nak makan mama dia akan masak. Kata my hubby pula kakak dah boleh kahwin sebab boleh masak macam mama masak hehehe.

Lepas seminggu cuti kakak pun habis mulalah menjenguk kekedai makan semula. Sebenarnya my hubby memang tak biasa buat kerja2 rumah termasuklah memasak. Masa saya dalam pantang anak ke 4 dulu pun sebulan lebih kami makan nasi luar sebab masa tu pembantu rumah saya balik kampungnya diseberang. Mak dan mak mertua pula dah tak ada kadang2 adalah kakak, adik dan ipar duai membantu. Pernah juga hubby goreng telur dan sausage tapi anak2 ketawakan sebab terlebih masak, hangus hehehe. Sebab tu bila saya on leave anak2 dah tahu cara yang paling bagus import makanan atau makan saja kat luar. Satu yang special tentang my hubby dia tak kedekut duit bila ada lebih dia suka berbelanja untuk isteri dan anak2.

Hari ini pun kakak ada balik cuti weekend dapatlah dia sambung kerja2 rumah sementara sehari dua lagi tangan saya dah boleh melakukan kerja2 yang diperlukan. Syukur alhamdulillah ini semua berkat doa dari keluarga dan rakan2. Terima kasih semua....

Wednesday, April 13, 2011

Sihat2 aje

Assalammualaikum dan selamat pagi semua, harap2 semuanya sihat dan ceria. Lama sungguh saya tak mengupdate blog tapi saya tetap mengikuti cerita rakan2 cuma saya tak dapat nak tinggalkan jejak.

Terima kasih pada Dr Munir yang berada nun jauh di Irbid, Jordan bertanyakan kesihatan saya. Auntie sihat cuma tangan aje yang masih belum boleh digunakan. Masih terasa sakit kalau digunakan dan masih  di bandage. Kelmarin pergi dressing nampak lukanya dah mula kering. Tangan kanan dah tak kebas cuma jari telunjuk aje yang sakit sebab jatuh dulu, masih tak boleh dibengkokkan. Cuma bila tangan kiri banyak melakukan kerja2 kebasnya bertambah. Harap2 selepas kedua2 tangan dioperate nanti dapatlah hendaknya saya menjalankan tugas seperti biasa.

P/s: Baru tahu betapa siksanya hanya satu tangan boleh digunakan.
                  
                      Syukur dengan kurnian Allah.